Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Setelah keluar keputusan UPSR pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak menteri, timbalan menteri dan komen-komen dari ahli masyarakat tentangnya. Ada yang mengatakan pencapaian UPSR tidak dihalang oleh PPSMI. Ada yang mengatakan pencapaian penguasaan Bahasa Inggeris meningkat dengan melihat pencapaian mata pelajaran sains dan matematik. Ada yang mengatakan PPSMI berjaya walaupun dikritik hebat. Macam-macam analisa dan komen.
Beginilah, pada pandangan saya, usahlah mengarut. Sudah ramai rakyat tidak bersetuju dengan PPSMI, lebih baik tak payahlah dasar ini dilaksanakan. Kerana mahu pelajar enguasai bahasa Inggeris jangan korbankan prestasi sains dan metematik.
Kalau dikatakan pencapaian matematik dan sains dalam UPSR meningkat kerana PELAJAR-PELAJAR MENJAWAB DALAM BAHASA INGGERIS, hal inilah yang saya selaku ibubapa hendak tanya. Betulkah anak-anak itu menjawab dalam bahasa Inggeris ? Anak-anak di mana, anak-anak siapa ? Atau soalan-soalan matematik dan sains UPSR, masih dwi bahasa dan oleh kerana dwi bahasa, ramai guru-guru yang mengajar matematik dan sains dalam bahasa Melayu ? Memberi reaksi kepada persoalan saya ini mesti telus.
Kembalilah kepada jati diri kita, bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah terbukti sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu zaman berzaman.
Untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris bukan melalui PPSMI. Mengarut ! Kenapa saya kata mengarut ? Hendak memperbaiki kelemahan bahasa Inggeris, akibatnya sains, matetematik dan bahasa Inggeris yang hancur. Yang bagusnya analisa, semuanya berjaya. Tidakkah mengarut namanya tu. Realistiklah sedikit. Kaji balik sistem pembelajaran, pengajaran dan penilaian bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
Pada pemerhatian saya, kandungan sukatan pelajaran BI dan kandungan buku teks, cantik dan sangat baik. Masalah yang saya nampak ialah sistem penilaian yang mengakibatkan pengajaran cikgu-cikgu menjadi huru-hara dan tiada fokus. Mencari A,A,A,A,A. Apakah A atau B itu memberi makna penguasaan berbahasa Inggeris yang sebenarnya ? Tolong jawab.
Saya bimbang cikgu-cikgu tidak ajar bahasa Inggeris untuk tujuan berkomunikasi atau melahirkan idea tetapi melatih macam burung tiong untuk menjawab soalan bagi mencapai target A. Dan cikgu-cikgu bahasa Inggeris di sekolah juga sibuk digesa habiskan sukatan, habiskan sukatan atau buat apa sahaja, janji A. Lihat…matlamat pengajaran bahasa Inggeris telah tersesat jauh!
Akibat dari kesesatan itu, inilah hasilnya, anak-anak Malaysia khususnya yang tinggal di luar bandar, belajar bahasa Inggeris 11 tahun tapi tetap tidak pandai berbahasa Inggeris. Bodoh benar mereka ? Di mana silapnya ini.? Adakah semua guru bahasa Inggeris tidak pandai mengajar kerana semua ini berlaku di seluruh negara !?
Cuba ubah sistem penilaian yang lebih mengukur penguasaan perbendaharaan kata yang kaya dan lepas itu latih dan uji mereka menyampaikan idea dalam lisan terutamanya dan tulisan, biarkan dulu perkara teknikal bahasa seperti ejaan dan tatabahasa. Uji mereka secara rasmi dalam bentuk oral dahulu. Ukurkan dua aspek itu dulu. Setelah mereka kuasai perbendaharaan kata dan aspek keupayaan penyampaian idea, mereka akan mempunyai keyakinan diri yang cukup tinggi dalam bahasa Inggeris dan di tingkatan tiga atau empat contohnya barulah ajar aspek teknikal bahasa.
Memberi keyakinan untuk berbahasa terlebih dahulu adalah sangat penting. Jangan samakan pelajar sekarang dengan pelajar dahulu. Dahulu sekolah ada dua aliran. Pelajar yang masuk ke aliran bahasa Inggeris adalah pelajar terpilih atau melalui kelas-kelas peralihan terlebih dahulu. Dan apabila mereka berada di sekolah aliran bahasa Inggeris suasana bahasa Inggeris telah wujud di sekolah-sekolah tersebut. Sekarang ?
Ingat kita bukan perlu melahirkan semua pelajar Malaysia dari segenap kampung dan desa, bandar dan kota menjadi pakar bahasa Inggeris, kita mahu mereka menguasai ilmu dan menguasai komunikasi melalui bahasa inggeris. Itu matlamat kita. Saya masih ingat sewaktu peristiwa Highland Tower, pakar terowong Jepun sudah tentu seorang jurutera bercakap bahasa Inggeris yang sangat teruk tatabahasanya sewaktu ditemuramah TV3, tapi apa yang dia mahu katakan semua orang faham.
Dan kajilah juga sedikit psikologi pelajar-pelajar bangsa Melayu yang pemalu. Sebab itu, persoalan yang boleh memalukan dan menyusahkan mereka dalam belajar bahasa Inggeris, menyebabkan mereka rasa rendah diri perlu dihapuskan. Dah nak buat macam mana mereka dilahirkan sebagai bangsa lemah lembut, sopan, tidak jenis selamba dan pemalu. Semuanya itu sifat positif jika kita pandai menguruskan psikologi mereka. Jangan salahkan mereka.
Hanya itu pandangan saya tetapi siapalah saya berbanding para pakar di Kementerian Pelajaran Malaysia. Mereka pasti akan bertanya "siapa anda ??" Saya hanya lulusan sekolah atap je ! http://garamlada.blogspot.com
PPSMI PATUT DIHAPUSKAN
Rosli Ab.Ghani, Saturday, February 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment