Sekolah sebagai sebuah 'learning organization' mempunyai tanggungjawab, misi dan visi serta matlamat dan halatuju, pada jangka panjangnya melahirkan manusia yang berilmu, berketrampilan, berkemahiran tinggi, bersahsiah unggul dan mulia, berkemahiran, menyelesaikan masalah, serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara di peringkat local atau pun global, perlukan seorang pemimpin pendidikan yang mampu melaksanakan tugas-tugas berat ini dengan penuh semangat dan daya juang yang tinggi tanpa mengira masa dan waktu.
Di sekolah Pengetua dianggap seorang pemimpin kurikulum, pengurusan pejabat, hubungan manusia dan pembuat keputusan yang amat penting bagi menentukan kemajuan dan kecemerlangan anak didik dan organisasi sentiasa competent dan relevan dengan situasi dan isu-isu semasa. Sayangnya tidak ramai pengetua (yang saya temui) memiliki ciri-ciri dan personaliti dan watak yang diperlukan sebagai seorang pemimpin pendidikan yang berkesan di peringkat sekolah. Dari itu maka wujudlah keadaan di mana seolah-olah pengetua lemah dan tidak berkesan dalam banyak hal walaupun dalam aspek-aspek teras kepimpinan kurikulum. Jadi tidak hairanlah berlaku situasi di mana terdapat pengetua yang menunjukkan ciri-ciri kelemahan seperti berikut;
a) Tidak berani mengadakan Mesyuarat Guru kerana tidak berkeupayaan memberi penjelasan terhadap isu-isu sensitif yang ditimbulkan.
b) Tidak ada kebolehan memotivasikan guru-guru (termasuk kakitangan bukan guru) yang rendah prestasi, yang bermasalah, dan menjadi 'jelatang' kepada organisasi dan komuniti setempat.
c) Tidak ada misi dan visi atau wawasan, setiap orang bebas melakukan apa yang disukainya (salah faham kepada konsep demokrasi dan lassiez-faire).
d) Tidak mampu menggerak dan memastikan semua guru dan penolong-penolong kanan melakukan tugas masing-masing dengan cekap dan berkesan.
e) Tidak ada kebolehan membimbing semua guru dari segi tunjuk ajar, garispanduan, hierarki tugas, sistem dan prosedur yang patut diikuti semua.
f) Tidak tegas, tidak assertive, tidak konsisten, tidak telus dan tidak mematuhi keputusan yang telah diambil dalam sesuatu perkara yang telah dipersetujui.
g) Kebanyakannya mengamalkan konsep 'mengharap' tetapi tidak 'menggarap' supaya sesuatu perkara benar-benar dihayati dan diamalkan oleh setiap warga sekolah kepada satu tahap yang maksimum.
Setelah berkhidmat di tiga buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah, saya cukup yakin dengan apa yang telah saya lihat, lalui dan alami, perbaiki dan perbetulkan serta yang saya fikirkan, bahawa seseorang Guru Besar tidaklah semudah seperti yang disangka oleh kebanyakan orang. Saya temui ramai Guru Besar yang 'bergaya' sebenarnya tidak 'berdaya', 'cakap tak serupa bikin', bernafsu besar dan bercita-cita tinggi tetapi sebenarnya 'tidak bertenaga', memanupulasi pengaruh dan kedudukan dan bukan sedikit pula yang 'lebihkan kerja luar' daripada memimpin guru-guru dan anak didik di sekolah.
Saya juga banyak menerima maklumbalas mengenai senario dan tingkah-laku yang tidak wajar berlaku di sekolah-sekolah terutama soal prinsip dan peraturan, soal allocated time dan enganged time yang sebenarnya dan sepatutnya menjadi prioriti pertama dan utama seseorang pengetua dalam aspek kepemimpinan kurikulum. Jadi apabila saya beralih menjadi Guru Besar sekolah rendah (sejak 1991) maka satu daripada 'pendekatan' yang saya gunakan ialah menyampaikan mesej tertentu berdasarkan situasi, tabiat, tingkah-laku, kepercayaan, world-view peribadi guru yang tidak kongruen dengan falsafah pendidikan dan aspirasi negara serta nilai-nilai murni seorang mukmin, dalam setiap mesyuarat bulanan guru melalui satu Nota Khas.
Tujuan utama saya ialah bagi menyedarkan semua guru saya bahawa menjadi guru bukan setakat masuk kelas mengajar (bagaimana pula yang tak masuk mengajar?) tetapi lebih daripada itu...yakni mengajar sebagai satu ibadah! Melalui nota khas ini saya menyentuh pelbagai aspek diri dan kehidupan seseorang guru bagi membuka minda dan mencetus inspirasi di samping mendorong mereka meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran, mengubah paradigma dan stail berfikir serta mengubah tingkah-laku kepada tingkah-laku yang lebih matang, lebih positif, lebih inovatif, imaginatif, kreatif dan produktif. Guru-guru saya hendaklah faham bahawa apa jua yang saya sentuh dan kemukakan berdasarkan prinsip berikut:
1. Bukan kepada SIAPA betul tetapi kepada APA yang betul;
2. Perubahan bukan semata-mata kerana hendak berubah tetapi kepada
MENGAPA perlu berubah dan APA yang perlu diubah;
3. Mengutamakan dan meletakkan konsep KITA (teamwork) mengatasi
pemikiran AKU (egoistic and individualistic);
4. "Walk My Talk'...cakap serupa bikin bukan kata-kata rhetoric tanpa bukti
yang nyata terperi;
5. Menganggap apa jua penghalang sebagai satu 'challenge' yang perlu
ditangani secara objektif dan penuh profesionalisme serta penuh hikmah dan
bijaksana;
Kepimpinan berkesan bukan dasarkan kedudukan (position) atau pangkat (rank) tetapi apa yang kita boleh buat (competency), kebolehan membezakan antara emotional dan professional, antara individual dan organizational, antara illusi dan realiti.
Dengan nota-nota khas ini saya bukan setakat memenuhi 'agenda' mesyuarat yang biasa-biasa tetapi saya cuba memberi 'makna' dan 'kefahaman' yang mendalam kepada guru-guru saya bahawa 'memartabatkan profesion perguruan' bukan pada nama dan gelar sahaja tetapi terasnya terletak dan tersembunyi di dalam diri setiap orang yang mengaku dirinya guru; pemikiran (thinking styles), kepercayaan (beliefs), dan yang pentingnya sikap (attitude) kerana seperti kata-kata Zig Ziglar; " It's not your aptitude, but your attitude that determines your latitude in life."
Selain itu niat saya ialah untuk mewujudkan sebuah organisasi yang benar-benar mencerminkan situasi dan senario 'guru mengajar murid belajar' dalam ertikata yang semurni-murninya. Saya juga cuba menyedarkan guru-guru saya bahawa hukum sebab-akibat dan kaitannya dengan Hukum Ganjaran (Law of Compensation) yang berbunyi "Apa yang disemai, itulah yang dituai." Dalam konteks tugas-tugas pengajaran dan pembelajaran, guru-guru mesti sedar dan faham hukum-hukum ini. Jika tidak inilah apa jua kelemahan dan kemunduran yang kita temui hari ini adalah berpunca (akibatnya) dari bibit-bibit mediocrity dan berbagai jenis kebejatan yang telah berlaku dan bermaharajalela selama ini, dan kesannya kita terima dan tanggung hari ini. Sebagai pemimpin pendidikan, khasnya seseorang Guru Besar itu tidak boleh meletakkan kesalahan kepada orang-orang sebelumnya sahaja tetapi yang pentingnya bagaimanakah ia berusaha bagi mengatasinya dan seterusnya tidak mengulangi lagi kesalahan yang sama. Dalam hal ini pengetua tidak mungkin dapat melakukannya seorang diri. Itulah sebabnya mengapa seluruh ahli organisasi sekolah perlu disedardirikan, dipulihsemangatkan, diberi 'tulang belakang' (empowerment) semula supaya masing-masing guru ini benar-benar faham setiap orang guru berpotensi menjadi guru-guru yang berkesan, berwibawa dan berketrampilan tidak kira di mana jua ia bertugas. Inilah matlamat saya. Saya percaya keadaan ini boleh dicapai.
Salah satu aspek yang sangat penting dan seharusnya dapat dilaksanakan oleh setiap pengetua ialah aspek 'menangani perubahan'. Mengubah 'budaya' sesebuah sekolah memerlukan keberanian, ketrampilan kepemimpinan, pengetahuan dan kepakaran pedagogi, perancangan strategik, kemahiran komunikasi interpersonal yang berkesan di samping mempunyai ilmu dan kemahiran dalam pengurusan manusia dan organisasi. Organisasi yang berkesan, berkembang dan maju adalah organisasi yang sentiasa melaku 'perubahan' secara berterusan dan bersifat 'all-out', melibatkan semua warga sekolah daripada pengurusan atasan hinggalah kepada kakitangan bawahan. Oleh itu seseorang pemimpin yang 'berusaha dan berjaya melakukan transformasi budaya organisasinya' adalah seorang 'Pemimpin Transformasional.'
Pemimpin transformasional adalah pemimpin yang mampu menjana kesedaran, mempertingkatkan minat, penerimaan misi dan tujuan organisasi, melihat melangkaui batas-batas kepentingan diri demi kepentingan orang-orang lain di kalangan para pengikutnya. Ciri-ciri seorang pemimpin transformasional adalah karisma, inspirasi, rangsangan intelektual dan pertimbangan bersifat individu.
Bob House mendefinisikan pemimpin karismatik sebagai; " Pemimpin karismatik adalah mereka yang digerakkan oleh perwatakan yang berkemampuan memberi kesan yang jelas dan luar biasa ke atas pengikut-pengikut." Menurut Conger dan Kaungo ada empat tahap bagi mencapai kepemimpinan kasrismatik iaitu;
1. Membina visi terhadap perubahan unggul.
2. Visi dikomunikasikan dan pengikut dimotivasikan.
3. Bina kepercayaan.
4. Tunjuk cara bagaimana mencapai visi.
Demikianlah betapa pentingnya seseorang pengetua itu perlu sentiasa menambahkan pengetahuannya supaya dapat membantunya membina visi sekolah dan kenapa perubahan perlu dilakukan. Visi tidak patut tinggal menjadi slogan semata-mata, ianya hendaklah dikomunikasikan dan diuar-uarkan dalam setiap kesempatan dan ruang supaya para pengikut yakni guru-guru dan anak didik kita sentiasa dimotivasikan. Kepercayaan terhadap diri peribadi dan kepemimpinan Guru Besar hanya akan tumbuh dan berkembang apabila kita dapat dan berjaya membuktikan semua tindakan yang diambil adalah betul, tepat, cepat, berkesan dan berhasil.
Sebagai seorang ketua pengurusan pendidikan di sekolah pengetua hendaklah berupaya menunjukkan kaedah dan cara, bagaimana mencapai visi sekolah dapat direalisasikan dengan menggunakan semua pengetahuan dan kemahiran yang ada, sumber dan prasarana yang tersedia di setiap sekolah dapat digunakan ke tahap paling optimum dan berkesan.
Setelah tiga puluh tiga tahun menjadi guru (dua puluh tiga tahun sebagai Pengetua dan Guru Besar) saya mempunyai keyakinan yang amat tinggi terhadap pendekatan yang saya gunakan dalam 'merobah' budaya sekolah-sekolah yang pernah saya tadbirkan dengan berpandukan tiga aspek yang pada hemat saya telah membuktikan apa yang saya lakukan sentiasa memberi hasil dan bukti yang amat menggalakkan. Tiga aspek yang saya maksudkan ialah pertama sikap, kedua disiplin, dan ketiga 'contoh teladan'.
Sikap adalah penentu gerak-laku setiap insan; penentu kepada tanggapan dan perlakuan individu dalam interaksinya setiap hari. Sikap yang positif akan melahirkan tingkah-laku yang positif, begitulah seterusnya dalam seluruh kehidupan seseorang itu sama ada dalam kehidupan peribadinya mahu pun dalam kehidupan kerjayanya. Disiplin adalah ciri amat penting yang mampu meletakkan seseorang itu sebagai orang yang berjaya atau sebaliknya. Orang yang berdisiplin kendiri yang tinggi tidak perlukan kawalan dari luar, ia mampu mengurus dirinya, terutama sekali mengurus kerjanya ke tahap yang paling tinggi dan berkualiti, peraturan dan undang-undang tidak pernah 'membebankan jiwa dan raga'. Sebagai Guru Besar, seseorang itu harus pula mampu menjadi 'suri teladan' kepada seluruh guru dan anak didiknya di sekolah. Yang paling penting seseorang Guru Besar mesti sentiasa mengamalkan 'Cakap Serupa Bikin' (Walk Your Talk).
Dalam menggerakkan warga organisasi di sekolah terutama guru-guru, Guru Besar hendaklah pula memiliki ciri 'assertiveness' yang berhemah supaya unsur-unsur kelemahan dari aspek masa, tenaga dan kewangan tidak mengheret organisasi kepada kegagalan melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dalam hal ini saya meletakkan kepentingan organisasi di atas kepentingan individu atau kumpulan. Kepada guru-guru saya jelaskan konsep ini sejelas-jelasnya iaitu organisasi sekolah hendaklah menjadi sebuah organisasi yang cemerlang dan gemilang. Organisasi yang cemerlang dan gemilang mestilah mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti, yang pada akhirnya terletak di atas batu jemala orang yang bergelar Guru Besar. Prinsip yang saya pegang ialah " The first rule of leadership, everything is my fault."
Melalui prinsip ini saya 'tidak cepat menyalahkan guru-guru saya' di atas sebarang kelemahan dan kesalahan yang terjadi; saya fikirkan balik apakah tidak saya sendiri telah sama-sama 'bersalah' kerana tidak mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi sebarang kemungkinan kegagalan sesuatu urusan atau program itu. Dalam aspek menjadi 'contoh teladan' ini saya lakukan perkara-perkara yang sangat biasa tetapi bagi kebanyakan orang (kalangan guru besar khasnya) menganggap apa yang saya buat sebagai tak perlu dan 'bodoh'. Saya datang awal pagi dengan tujuan guru-guru saya juga akan terdorong datang pagi dan bersedia untuk proses pengajaran dan pembelajaran dengan tenang dan teratur. Saya tulis Buku Rekod Mengajar saya dengan tujuan guru-guru saya tidak akan menanggap saya 'seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul', dan saya masuk mengajar seperti guru-guru saya juga dengan tujuan saya diiktiraf bukan sahaja seorang Guru Besar (yang profesional) tetapi yang paling utama bagi saya, 'saya seorang guru'. Dalam aspek pengurusan masa saya pastikan semua aktiviti sekolah dijalankan tepat pada waktunya; loceng pertama sekolah disetkan berbunyi pada 7.30 pagi setiap hari; mesyuarat guru dan taklimat khas mingguan atau mesyuarat jawatankuasa kurikulum dimulakan tepat pada waktunya; pendeknya semua program dan aktiviti seperti yang ditetapkan di dalam Takwim Sekolah mestilah dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya.
Menjadi teladan yang baik adalah salah satu 'ingredient' penting bagi seseorang Guru Besar itu dalam mendorong atau 'memotivasikan' guru-guru khasnya lebih-lebih lagi dalam senario atau budaya sekolah yang sudah sekian lama 'terbiar', dengan pelbagai unsur 'negaholic' yang merosak dan mencengkam sesebuah sekolah itu ke dalam kemelut dan konflik yang berlarutan malah menular sehingga begitu sukar untuk dipulihkan. Di sekolah-sekolah yang saya terajui sering terdapat sebilangan guru-guru yang sebenarnya bukan 'berjiwa guru' tetapi sekadar 'bekerja sebagai guru' sahaja; tidak ada wawasan apatah lagi sangat kurang menampilkan sifat-sifat guru yang 'profesional'; sentiasa meletakkan kelemahan prestasi akademik sekolah kepada pihak pelajar dan ibu bapa mereka sahaja seolah-olah pihak guru-guru dan kepimpinan sekolah sendiri 'bersih' daripada segala 'kebejatan profesionalisme'. Mengapa demikian sekali pola berfikir dan bertingkah-laku para 'pengamal pendidikan' ini? Mengapa sebahagian besar guru-guru dan kepemimpinan sesebuah sekolah itu tidak pernah rasa 'tersentuh' dan 'malu' dengan situasi ini? Mengapa ramai yang tidak merasa bertanggungjawab ke atas prestasi yang 'mundur' sampai bertahun-tahun dan berserah kepada 'nasib' semata-mata? Selaku Guru Besar perkara-perkara 'fundanmentals' melibatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terutamanya penguasaan kemahiran murid-murid Tahap Satu hendaklah dianggap sebagai satu 'mission impossible' yang mesti ditunaikan kepada tahap paling maksimum.
Siapakah orangnya yang paling layak dan paling berautoritatif dalam mempastikan semua aspek pencapaian dan pengurusan kemahiran-kemahiran berkaitan sebagaimana yang telah digariskan melalui Sukatan dan Huraian Sukatan Pelajaran dilaksanakan sepenuhnya, kalau bukan Guru Besar sendiri? Dalam hubungan ini saya sentiasa menekankan dan mengutamakan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan sepenuh jiwa dan raga, sepenuh daya dan tenaga. Guru-guru sering diingatkan bahawa 'masa tidak menanti kita' dan masa yang 'hilang' tidak mungkin dapat diganti. Hal ini juga berkait rapat dengan kesedaran dalaman yang tinggi terhadap apa yang sering di kalangan kita pandai menyebut 'kerja sebagai ibadah', tetapi sedikit sekali yang insaf dan sedar bahawa apa jua yang dilakukan sewaktu bertugas di sekolah malah kebanyakannya 'tidak menjadi amal soleh dan muslih' jauh sekali daripada menjadi 'ibadah'.
Akhirnya kalau boleh saya simpulkan, bahawa semua gerak dan diam kita selaku guru-guru dalam mendidik dan mengajar, menegur dan meneladan hendaklah mempunyai niat dan tujuan bagi mencapai maqam 'kerja kerana Allah s.w.t.'; kalau pun kita tidak dapat mencapai maqam sedemikian sekurang-kurangnya maqam yang paling rendah yakni 'kerja kerana kerja'. Mutu dan prestasi kerja kita insyaAllah akan meningkat dari satu tahap ke satu tahap yang lain jika kita sedia dan sentiasa memegang amanat junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w. melalui sabda baginda:
"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam,
dialah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,ia adalah orang yang rugi.Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t."
(Cikgu Hamzah Mohammad)
BUKAN SENANG NAK JADI PENGETUA
Rosli Ab.Ghani, Wednesday, May 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Saudara Rosli..tahniah diatas keberanian saudara mengenengahkan isu pengetua ini. Saya ingin turut berkongsi aspirasi saudara dgn memulakan isu yg sama di blog saya.Sudi-sudilah menjenguk ke blog saya dan memberi komen saudara. Terima kasih.