KALAU NAK JADI GURU - CUBA BACA

KEMENTERIAN PELAJARAN PUNCA BEBAN GURU BERTAMBAH

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain. Pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid.

Butir-butir ini terkandung dalam laporan kaji selidik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP bertajuk; `Pandangan dan Syor NUTP; Beban Guru meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknik dan politeknik yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) baru-baru ini.

Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005, kaji selidik itu adalah antara usaha NUTP memberi gambaran jelas kepada kementerian supaya sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru.

Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas kepada lima bidang itu membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip dan juruhias.

Ini adalah kali kedua perkara yang sama didedahkan oleh media tempatan. Pada 7 Julai 2005, sebahagian besar media cetak di Malaysia melaporkan bagaimana Jawatankuasa Menangani Beban Tugas Guru (JMBTG) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Ambrin Buang telah mendapati guru terbabit mengambil masa 74 jam seminggu untuk melaksanakan tugas mereka selain dibebankan dengan tugas mengisi 108 jenis borang.

Guru di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur boleh dikategorikan sebagai golongan `terbeban' kerana terpaksa menghabiskan sebahagian besar masa untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab mereka.

JMBTG juga mendakwa guru menghabiskan 38 hari setahun untuk menghadiri kursus dan latihan berbanding hanya tujuh hari yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pada 27 Februari 2005, selepas majlis penutup Program Jatidiri dan Kecemerlangan Akademik Pelajar Matrikulasi sesi 2004/2005 Kolej Matrikulasi Perak, Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran mendapati guru-guru kini terlalu dibebankan dengan tugas bukan mengajar sehingga menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Beliau tidak mahu guru-guru melakukan kerja bukan dalam bidang tanggungjawab mengajar seperti mengutip derma, kempen nyamuk aedes, menyelesaikan masalah longkang tersumbat dan sebagainya kerana ia cukup membebankan guru.

Beliau juga berjanji bahawa mulai tahun 2005 semua guru dipertanggungjawabkan untuk mengajar dan (urusan-urusan lain) selain itu perlu dilakukan oleh pihak pentadbiran sekolah.

DPPNJ melihat bahawa bebanan tugas berlebihan ini adalah berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan di dalam pentadbiran dan penyelarasan di semua peringkat pentadbiran sekolah.

Jabatan Pelajaran Negeri tidak dapat mengatur masa kursus dengan tersusun sehingga menyebabkan terdapatnya ramai guru-guru di dalam sekolah yang sama terpaksa menghadiri kursus secara serentak di luar kawasan, ditambah lagi dengan keadaan guru yang bercuti dengan pelbagai sebab, justeru tugas yang ditinggalkan terpaksa dipikul oleh guru yang masih berada di sekolah.

Di sekolah pula, pengagihan tugas bergantung kepada kebijaksanaan Pengetua atau Guru Besar. Kebiasaanya Pengetua akan bergantung harap kepada guru yang boleh diharap sahaja sedangkan guru yang malas hanya melakukan tugas mengajar di kelas sahaja.

KPM perlu bertindak secara effisien untuk menyelaraskan semula tugas guru dengan mengambil kira daripada semua sudut. Paling penting tugas utama guru untuk mengajar dan mendidik tidak terganggu disebabkan bebanan tugasan yang di luar bidang kuasa guru.

Comments :

0 comments to “KALAU NAK JADI GURU - CUBA BACA”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...