MATLAMAT SEKOLAH BERASRAMA TERSASAR

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini memang mendebarkan ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Sudah tentu banyak calon berkira-kira untuk memohon memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) sekiranya memperoleh keputusan 5A.

Seperti difahami, antara lain tujuan asal penubuhan SBP ialah menempatkan pelajar luar bandar yang terbukti menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum agar mereka dapat menikmati kemudahan yang lengkap dan sempurna setanding dengan rakan mereka di bandar.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, matlamat asal penubuhan SBP nampaknya sudah sedikit tersasar kerana bilangan pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan tinggi turut sama ditempatkan di sekolah itu.

Secara tidak langsung, tempat pelajar miskin yang jauh di pedalaman dinafikan haknya. Apatah lagi jika mereka mendapat 4A dan lebih rendah daripada itu tentulah sukar bagi mereka menjejakkan kaki ke SBP.

Senario ini pastinya mengundang ketidakselesaan dan putus asa dalam kalangan pelajar luar bandar sekiranya tidak diberi perhatian khusus. Hakikatnya, pelajar luar bandar yang memperoleh 5A atau 4A, jika diberi peluang dan kemudahan yang lebih sempurna dan selesa, besar kemungkinan potensi diri mereka akan lebih menyerlah.

Pelajar daripada golongan berpendapatan tinggi tidak menghadapi masalah kerana ibu bapa mereka berupaya menyediakan bilik belajar yang sempurna di rumah dengan buku rujukan yang lengkap, kemudahan internet, guru tuisyen dan persekitaran yang kondusif.

Mungkin ibu bapa mereka juga pada suatu masa dulu belajar di SBP dan hari ini mereka meraih kejayaan cemerlang dalam bidang kerjaya atau perniagaan. Semestinya hal ini diberi perhatian kerana inilah masa dan ketikanya pelajar diberi peluang dan ruang secukupnya agar mereka mampu bersaing di atas padang sama rata berbanding rakan mereka di bandar yang sudah terbukti mempunyai kemudahan dan prasarana lebih baik.

Justeru, mereka walaupun mendapat 4A sewajarnya diberi peluang menimba pengetahuan di SBP khususnya kepada keluarga yang kurang mampu dan berada dalam kelompok miskin. Namun, kepada keluarga yang berupaya mendidik dan membiayai pendidikan anaknya sendiri, janganlah bersikap lepas tangan dalam mendidik anak mereka dan seterusnya menjadikan SBP sebagai 'pusat jagaan anak-anak'.

Pada hemat saya, Kementerian Pelajaran haruslah tegas dalam hal ini tanpa menunggu lebih lama lagi untuk bertindak. Jika tidak, kita terus dibelenggu dalam membuat keputusan yang tidak tepat dan sebaliknya hanya terus memberi ihsan saja untuk kumpulan yang tidak sepatutnya menerima hak mereka.

Sebahagian pelajar yang sewajarnya menerima hak mereka terpinggir begitu saja dan berkemungkinan mematikan semangat pelajar dan ibu bapa mereka.

Barangkali tidak keterlaluan kalau kita mengatakan bahawa sekarang ini kita berdepan dengan krisis dalam pendidikan khususnya antara di bandar dan luar bandar yang masih melebar. Satu langkah drastik diperlukan bagi membangunkan suasana pembelajaran di luar bandar agar mereka tidak menjadi mangsa diskriminasi akibat salah tanggapan kita.

Sudah tiba masanya kita bersungguh-sungguh dalam memerangi budaya songsang berhubung dengan penempatan pelajar ke SBP. Maka, setiap ibu bapa haruslah merenung sejenak, wajarkah mereka menghantar anak mereka ke SBP atau sebaliknya dengan rela hati memberi peluang kepada pelajar dan keluarga yang lebih memerlukannya?.

Berdasarkan pengalaman, sebilangan ibu bapa daripada golongan berpendapatan tinggi ini sering saja tidak berpuas hati dengan perjalanan SBP. Kebanyakan mereka terlalu mengharapkan kemudahan penginapan lebih selesa seperti di rumah mereka, makanan yang setaraf restoran, bilik darjah yang serba lengkap dan sebagainya.

Hal ini pastilah berbeza di kalangan ibu bapa luar bandar dan berpendapatan rendah. Mereka lebih menghormati guru, bersyukur dengan apa yang ada malahan mereka begitu menghargai dengan apa yang ada di SBP. Ibu bapa yang mempunyai pendapatan yang tinggi sepatutnya mengambil sikap berkecuali dan tidak prajudis.

Sekolah yang disediakan oleh pihak swasta mahupun kerajaan yang mempunyai kemudahan belajar yang lengkap patut diambil peluang oleh mereka. Maka peluang anak-anak orang kampung akan lebih terbuka di SBP dan mudah-mudahan pada suatu hari nanti mereka juga berupaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah berbayar sama ada yang disediakan oleh pihak swasta atau kerajaan.

CIKGU ADNAN,
Dungun, Terengganu.

Comments :

0 comments to “MATLAMAT SEKOLAH BERASRAMA TERSASAR”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...