KELUHAN HATI SEORANG IBU - CIKGU JUGE YANG SALAH?

Ubah sistem pelajaran sekolah membosankan
Saudara Pengarang,
SAYA sebagai seorang ibu tergerak hati untuk berkongsi pengalaman dengan para pembaca budiman tentang kehidupan seharian kanak-kanak sekolah sekarang seperti mana yang diluahkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang baru-baru ini - ``Kanak-kanak Malaysia sudah tidak gembira''.

Bermula 6.00 pagi dengan rutin bangun tidur, mandi dan solat. Kemudian 6.30 pagi bersiap sedia pakai baju sekolah dan bersarapan. Jam 6.50 pagi ke sekolah. Sampai 7.30 pagi. Sekolah bermula jam 7.45 pagi hingga 12.45 tengah hari.

Buku-buku dibawa mengikut jadual waktu yang ditetapkan (tahun satu hingga tiga).

Bahasa Melayu - tiga buku teks, dua buku latihan (dua masa).

Bahasa Inggeris - tiga buku teks, dua buku latihan (dua masa).

Matematik - tiga buku teks, tiga buku latihan (dua masa).

Agama Islam - Dua buku teks (satu Jawi) - empat buah buku latihan.

Muzik - Dua buku teks, satu buku latihan.

Sains - Dua buku teks, tiga buku latihan.

Jumlah - 15 buah buku teks, 15 buku latihan dan lapan buku kosong.

Sampai di rumah jam 1.30 tengah hari. Makan tengah hari dan solat. Jam 2.30 petang - 5.30 petang ke kelas Fardu Ain, Bahasa Arab, kelas Al-Quran dan solat di masjid terdekat.

Tiba di rumah 6.20 petang - Buat kerja rumah yang diberikan guru, rehat dan makan malam serta solat. Jam 7.45 malam - ke kelas tuisyen hingga jam 9.45 malam. Jam 10.30 malam tidur.

Setiap hari setibanya di rumah, anak akan memberitahu, ``Mama, hari ini guru tak masuk kelas, tak tahu guru pergi mana. Tak ada guru ganti''.

Setelah hampir empat bulan persekolahan hingga ke hari ini, saya sudah catitkan 28 hari iaitu hari guru tidak masuk kelas. Masa berlalu begitu cepat dan silibus terpaksa dihabiskan mengikut waktu baru. Guru pula beri kerja sekolah berlambak-lambak.

Bahasa Melayu - Kata cik gu: ``Sila buat dari muka surat 10 - 49. Besok hendak tengok.''

Bahasa Inggeris - dua muka surat juga, Matematik - 50 soalan serentak.

Bila pulang sekolah - diberitahu pula guru tidak tengok pun kerja sekolah yang dibuat. Sampai ke tahap anak-anak tidak hendak buat kerja sekolah.

Masa kita sekolah dulu, kalau tidak buat kerja sekolah, besok berdiri atas kerusi.

Kesimpulannya: Apakah tugas guru sekarang? - Adakah guru dibebani dengan tugas-tugas lain? Buku jarang diperiksa.

Kebanyakan buku teks tidak disentuh langsung sampai ke hari ini sedangkan anak-anak bawa beg 20 kilogram sehari ke sekolah dan guru pula ponteng kelas. Tidak dinafikan pula ada guru yang berniaga.

Mungkin gaji tidak mencukupi, anak-anak semakin ramai dan harga barang semakin naik. Ada yang mempunyai kedai emas, kedai butik, restoran, sistem jualan langsung dan kelas tuisyen sendiri (berselindung atas nama kawan dan adik beradik). Tak ada tumpuan di dalam kelas.

Sebab itu anak-anak kita bosan dan tidak ceria. Masa anak-anak kita terbuang begitu saja. Masuk kelas pun suruh buat kerja masing-masing. Bila kita buat teguran anak kita jadi mangsa disenaraihitamkan. Di mana hak asasi kanak-kanak kita sekarang?) (Awak nak belajar pun tidak apa tidak hendak pun tidak apa).

Sekolah sekarang semua dah canggih, ada komputer, bilik berhawa dingin dan pagar batu tapi fikiran, cara dan sistem mengajar masih ditahap lama juga.

Oleh yang demikian, saya sangatlah berharap kepada Menteri Pelajaran baru supaya sistem pelajaran sekolah, para guru yang tidak berminat mengajar perlu dipantau dan diubah segera.

Saya berterima kasih kepada Datuk Hishamudin kerana telah melancarkan projek Rintis J-Qaf (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain) di sekolah dan ibu bapa tidak perlu lagi menghantar ke surau dan masjid-masjid terdekat.

Adakan kembali mata pelajaran sivik di sekolah, kelas muzik tidak perlu kecuali yang berminat saja. Tidak perlu dikategorikan sekolah ini gred A, B dan C kerana guru yang mengajar di sekolah Gred A terpaksa menekan pelajar untuk menjaga nama sekolah manakala guru yang mengajar sekolah gred C tidak berapa peduli (disiplin merosot).

Kadang-kadang guru dan anak-anak sekolah malu hendak beritahu dia mengajar dan bersekolah di mana.

Sekarang pula timbul satu masalah lagi, bila anak-anak kita lepasan sekolah nak sambung pelajaran ke universiti, yang ada kelulusan pun tidak layak masuk. Macam mana? Bertahun-tahun bersekolah akhirnya kecewa dan melepak.

Ada yang berkelulusan diploma dan ijazah masih menganggur dan ada yang berniaga roti canai. Terpaksa cari rezeki yang halal hendak bantu ibu bapa yang telah membelanjakan wang ringgit yang banyak. Hendak dapat kerja pun kena ada kabel.

Apa guna ada kelulusan tinggi? Sama-sama kita fikirkan kerjaya anak-anak kita demi masa depan mereka, bangsa, agama dan negara. - HARAPAN SEORANG IBU, Sungai Lalang, Kedah.

Comments :

0 comments to “KELUHAN HATI SEORANG IBU - CIKGU JUGE YANG SALAH?”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...