KAMI mengalu-alu keputusan yang ditunggu-tunggu rakyat. Sungguhpun ada golongan yang masih bermati-matian mempertahankan PPSMI, namun itu suatu kelaziman.
Tatkala PPSMI diperkenalkan perdebatannya bukan sahaja berlegar dalam gelanggang masyarakat awam malah ia telah diteliti, dihujah dan dikupas oleh para ilmuan, cendekiawan serta para ahli ulama.
Berdasarkan hujah sejarah, perlembagaan, perundangan, budaya, pembinaan jati diri serta epistemology (pengistilahan), adalah jelas PPSMI merupakan sudah terpesong dari matlamat pendidikan sebenar.
Sudah tentu bila dilihat soal bahasa dalam pendidikan adalah menyentuh soal tunjang dan matlamat pendidikan maka ia seharusnya mengatasi soal matlamat cetek yang bersifat utilitarian dan berjangka pendek.
Oleh itu pendekatan kita tidak seharusnya hanya bersifat polisi pentadbiran dan soal implikasi kewangan semata-mata. Jika sudah kelihatan dengan jelas dan nyata mudarat dan musibahnya yang hampir membawa kepada penyakit yang lebih parah, maka tindakan untuk memulihnya jangan harus menggunakan pendekatan yang dikatakan beransur-ansur.
Kami berpendapat beralih secara beransur-ansur kepada suatu yang jelas membawa mudarat adalah tidak bijak. Mereka yang sudah menjadi mangsa kepada pelaksanaan PPSMI jangan terus dibiar terpaksa menanggungnya lagi.
Menunggu tiga tahun lagi untuk diharap keadaan dipulih sedangkan diagnosis penyakit sudah jelas diketahui akan menyebabkan mangsa yang sedang menjalani PPSMI akan menanggung musibah selama tiga tahun lagi.
Apakah hanya dengan rasional beralih secara beransur-ansur keadaan yang parah akan dapat dihindari berlaku kepada saki-baki generasi PPSMI? Bukankah kurikulum serta buku teks dan teknik mengajar dan pendekatan bahasa ibunda telah dilaksanakan sebelum ini?
Kami berpendirian PPSMI perlu dimansuhkan serta-merta. Tempoh sehingga 2012 adalah pemanjangan masalah yang bukan ditanggung oleh guru semata-mata tetapi lebih parah ialah pelajar-pelajar yang terpaksa mengikuti PPSMI yang sudah terbukti gagal dan menjejaskan proses pengilmuan generasi masa depan yang diharapkan.
MOHD. AZMI ABDUL HAMID
Presiden TERAS
Mansuhkan serta-merta
Rosli Ab.Ghani, Sunday, July 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment