Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my
Tidak wujud rasa kasih kepada bahasa, bangsa dan minda masih terjajah
KEMELUT Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang berlarutan hampir setahun dan diselesaikan pada 8 Julai lalu, membuka peluang kepada semua pihak untuk bermuhasabah diri di samping melihat 'wajah' sebenar orang Melayu negara ini.
Ketua Satu, Angkatan Sasterawan Indera (Aksara), Abdul Ahmad, berkata ada baiknya berlaku pergeseran PPSMI kerana setiap individu dapat melihat apakah benar orang Melayu dari orang bawah sampai kepada pemimpin, sayangkan bangsanya atau masih terbelenggu oleh penjajah dalam hal bahasa.
"Kemelut ini juga membuktikan bahawa semangat kebangsaan dan patriotik hanya bersifat kulit dan tidak pada nurani sesetengah orang Melayu, seolah-olah perjuangan kemerdekaan ibarat hanya pada kibaran bendera, tetapi tidak pada jiwa raga bangsa Melayu," katanya kepada Sastera ketika diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung PPSMI.
Beliau yang mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kerana berani bertindak atas kepentingan negara dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu mengikut peruntukan yang disediakan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
"Syabas juga kepada mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Engku Aziz Hamid yang walaupun dilahirkan di England dan dikelilingi penjajah serta menerima pendidikan Barat, jiwanya tetap Melayu dalam hal perjuangan bahasa serta ekonomi," katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada Engku Aziz kerana mencadangkan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris dibaiki bagi menyelesaikan masalah penguasaan bahasa pelajar sekolah awam negara ini kerana pendekatan terbabit dapat memperkasakan bahasa Melayu, serentak itu melahirkan rasa sayang kepada bahasa Melayu dan negara.
Kemelut PPSMI turut dilihat membuktikan wujudnya rasa sayang pada bahasa Inggeris yang keterlaluan sehingga orang Melayu tidak mahu melakukan kesilapan, tetapi malangnya perasaan sedemikian tidak pula hadir untuk bahasa Melayu sekalipun di kalangan orang Melayu sendiri.
"Orang Inggeris sayang kepada bahasa, negara mahupun bangsa mereka, hatta sekalipun mereka daripada keturunan kulit hitam yang berhijrah ke negara Barat sehingga semuanya menggunakan bahasa Inggeris bagi memungkinkan ia tampil sebagai bahasa perpaduan," jelasnya.
Keadaan berbeza pula dengan orang Melayu dan rakyat Malaysia, lalu jalan perlu dicari bagi mewujudkan rasa sayang tidak berbelah bahagi kepada bahasa Melayu kerana negara sudah menjadikannya sebagai bahasa kebangsaan di samping rasmi dan bahasa perpaduan negara ini.
"Saya tetap berharap kerajaan mencari jalan hanya satu bahasa dalam apa juga hal kerana ia demi perpaduan rakyat serta menjamin keselamatan negara pada masa depan. Kemelut PPSMI adalah ibarat biduk berlaku kiambang bertaut dan saya bimbang orang Melayu akan terjerat balik," tegasnya.
Keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI turut dilihat mengembalikan semangat pelajar di kawasan pedalaman yang tidak bersemangat untuk ke sekolah kerana faktor persekitaran dan mengalami tekanan berganda apabila bahasa Inggeris dijadikan pengantar untuk Sains dan Matematik.
"Masih ramai pelajar sekolah menengah di luar bandar yang tidak boleh membaca dan kes seperti ini turut berlaku di beberapa sekolah di Perlis membabitkan pelajar Tingkatan Empat tiada kemahiran asas membaca yang sepatutnya sudah di dikuasai ketika masih di sekolah rendah," ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Azmi, pula berharap kerajaan memperhalusi cadangan penempatan guru Bahasa Inggeris agar mengambil kira masalah pengangguran di kalangan graduan pada masa ini.
Keputusan menambah tempoh waktu pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris (BI) di sekolah rendah, menengah dan pusat matrikulasi, selain penempatan seramai 13,933 guru terlatih serta 1,000 guru pakar BI dari Australia mahupun United Kingdom bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dilihat sebagai langkah terbaik pada masa ini.
"Bagaimanapun, keputusan mengambil 600 pesara guru untuk menyambung perkhidmatan mereka perlu dipertimbangankan dengan sebaik-baiknya. Kita yakin, bagi satu tempoh masa yang singkat, ia adalah jalan keluar yang terbaik, tetapi tidak dalam jangka panjang," katanya.
PPSMI: Papar wajah sebenar Melayu
Rosli Ab.Ghani, Wednesday, July 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment