“Jentik Anak Ibu Bapa Melenting”
21 May 2010 | 0 Komentar
Sumber: Rencana Komuniti Sinar Harian |3 Mac 2010|
Isu berkaitan peranan guru di sekolah seringkali dihangatkan dengan campur tangan daripada pihak ibu bapa dan penjaga. Jika diteliti tiada salahnya ibu bapa mahupun pihak penjaga bersama-sama membantu guru dalam menyalurkan didikan yang baik secara bekerjasama. Tetapi apa yang dilihat pada hari ini amat berbeza, di mana guru sewenang-wenangnya diperlakukan dengan tindakan di luar kawalan oleh ibu bapa pelajar. Insiden yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan 2 kes yang berasingan. Kejadian pertama adalah di Sekolah Menengah di Nibong Tebal, membabitkan pelajar berusia 16 tahun menampar pipi guru berusia 28 tahun. Kejadian berlaku berpunca daripada pelajar terbabit bersama dua rakannya tiba lewat ke kelas serta membuat bising, dan tidak mengindahkan teguran guru terbabit sehingga akhirnya guru menampar pipi pelajar tersebut. Akibat daripada rasa tidak puas hati, rakan salah seorang pelajar terbabit membalas tamparan guru tersebut. Di mana sikap hormat pelajar terhadap guru yang mendidik mereka selama ini. Adakah guru tidak mempunyai hak untuk menegur perlakuan pelajar pada masa kini. Begitu juga dengan kes yang membabitkan ibu pelajar menampar guru lelaki yang berusia 28 tahun. Kejadian yang berlaku di Perlis ini disebabkan ketidak puasan hati seorang ibu apabila anaknya ditampar oleh guru berkenaan. Hanya kerana mahu memperbetulkan masalah displin pelajar terbabit, maka tamparan adalah hadiah yang diberikan oleh ibu kepada guru.
Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak juga dilihat menjadi salah satu punca pelajar sama sekali tidak boleh ‘dijentik’, sehinggakan tindakan displin yang diambil oleh guru terhadap pelajar dilihat sebagai suatu bentuk penghinaan dan penyiksaan kepada pelajar terbabit. Ibu bapa juga tidak bersikap rasional, memandangkan mereka seharusnya menggunakan saluran yang tepat bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan bukan bertindak melulu serta mendengar aduan serta rungutan daripada anak mereka tanpa menyiasat kes tersebut. Agak jauh berbeza situasi dan tekanan yang dialami oleh guru pada suatu ketika masa dahulu jika dibandingkan dengan masa kini dalam era globalisasi. Ibu bapa pada masa dahulu sangat menyanjungi guru, sehingga sanggup memberi kebenaran seorang guru ‘memukul’ anak mereka sekiranya berkelakuan tidak disenangi dengan tujuan mengajar anak mereka. Tetapi pada masa kini pelajar langsung tidak boleh ditegur, apatah lagi disentuh. Perkara seperti ini sedikit sebanyak akan memberikan tekanan kepada guru. Jika pelajar tidak mengindahkan nasihat dan teguran daripada guru maka secara tidak langsung akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berikutan tekanan yang dialami guru. Bukankah sepatutnya tahap pemikiran kita juga perlu berjalan seiring dengan perkembangan era moden yang dikatakan sebagai ‘globalisasi’ ini? Di mana letaknya keterbukaan pemikiran mereka? Barangkali globalisasi ini hanya kita capai secara lahiriah tetapi tidak secara batiniah.
Mengapa ibu bapa terlalu bersikap pesimistik kepada guru. Adakah dengan tindakan melulu sebegitu dapat memuaskan hati ibu bapa. Mengapa tidak menggunakan saluran yang betul jika mereka masih tidak berpuas hati dengan guru tersebut. Guru adalah insan yang mulia, memberi didikan dan menyalurkan segala maklumat kepada pelajar. Tidak terfikirkah pelajar dan ibu bapa betapa besarnya pengorbanan guru selama ini. Jika tindakan seperti inilah yang diterima oleh seorang yang bergelar guru, maka tidak hairanlah mengapa masalah sosial saban hari semakin meningkat. Tiada lagi teguran yang dapat dilakukan oleh guru kerana ibu bapa tidak mahu anak mereka dikenakan sebarang tindakan jika melakukan kesalahan. Adakah dengan cara begini maka dapat melahirkan pelajar cemerlang. Fikirkanlah, sebagai ibu bapa mahupun penjaga, teguran dan dendaan yang dilakukan oleh guru adalah bertujuan mendidik pelajar, yang satu hari nanti akan menjadi pemimpin kepada bangsa dan negara. Apa yang dicorakkan pada masa kini adalah didikan untuk masa hadapan.
JENTIK ANAK : IBUBAPA MELENTING
Rosli Ab.Ghani, Tuesday, May 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
Post a Comment